Monday, March 30, 2020

LATIHAN KOMSAS SAJAK ERTI HIDUP BERERTI-LATIHAN WAKTU CUTI


LATIHAN WAKTU CUTI-COVID-19
BAHASA MELAYU
SPM RAMALAN KOMSAS- SAJAK ERTI HIDUP BERERTI
Baca petikan sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

ERTI HIDUP BERERTI

Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angina dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

Teo Wei Sing
Suara Anak Pahang, 2009
Pekan Ilmu Sdn. Bhd.

SALIN NOTA DALAM BUKU MAP/BUAT DALAM PETA MINDA/ITHINK :
RANGKAP
MAKSUD SAJAK
1
penyajak sering dihimbau oleh nasib malang yang mengongkongi hidupnya dan tidak pernah berubah. Tiada sesiapa yang datang menziarahinya. Keluhan daripada seoranginsan tua yang kesunyian.
2
Kebahagiaan hidup yang diimpikan oleh penyajak hanya angan-angan sahaja
sehingga penghujung hidupnya. Anak-anak kandungnya sendiri sudah melupai dan tidak sanggup untuk menjaganya. Anak-anaknya
juga saling menolak untuk menjaganya. Penyajak mencari kehidupannya sendiri dan menanggung penderitaan hidup tanpa ada tempat bergantung yang kukuh.
3
Penyajak menganggap dirinya tidak dihargai dan diperlukan lagi walaupun mereka merupakan anak kandungnya sendiri. Penyajak berharap agar anak-anaknya sama ada yang sanggup berbakti atau yang telah melupakannya akan diberikan keinsafan. Penyajak turut berharap agar dapat hidup dengan berkasih sayang dan menggantikan hubungan yang hambar sebelum ini.
Penyajak juga mengingatkan supaya manusia jangan leka kerana dalam putaran hidup ini akan ada yang hidup dan mati kecuali hanya Tuhan yang kekal.

TEMA
Keluhan ibu tua yang diabaikan oleh anaknya sendiri - Seorang ibu yang mengharapkan
belaian kasih sayang anak-anak pada penghujung usianya. Walau bagaimanapun anak-anak
tidak mengendahkan dan melaksanakan tanggungjawab menjaganya. Jauh di sudut hati ibu
tua ini masih mengharapkan anak-anaknya akan insaf.

PERSOALAN
1. Persoalan kasih sayang seorang ibu
Cth : Seorang ibu yang mengandungkan dan menjaga anak semasa kecil sehinggalah
anak-anaknya dewasa.
2. Persoalan nasib warga tua yang dipinggirkan oleh anak-anak
Cth : Anak-anak tidak boleh mengabaikan ibu yang melahirkan dan membesarkan
mereka.
3. Persoalan kebahagiaan hidup merupakan impian setiap individu
Cth : Seorang ibu berharap agar anak-anak dapat memberikan kebahagiaan pada hari
tuanya.
4. Persoalan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa
Cth : Anak-anak perlu sedar terhadap tanggungjawab untuk menjaga kebajikan
ibu kandung/ ibu bapa dan memberikan kebahagian kepadanya/ mereka.
5. Persoalan keyakinan terhadap kekuasaan Tuhan
Cth : Penyajak mengingatkan pembaca bahawa dalam putaran hidup ini akan ada yang
hidup dan mati kecuali hanya Tuhan yang kekal.

GAYA BAHASA
1. Personifikasi
Cth : malam sepi (rangkap 1; baris 2)
2. Simile
Cth : bagai kalung ( rangkap 1; baris 3)
3. Sinkope
Cth : anakku bakaku (rangkap 3; baris 3)
4. Anafora
Cth : ada yang mati
ada yang hidup (rangkap 3; baris 9 & 10)
5. Responsi
Cth : dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik (rangkap 2; baris 6 & 7)
6. Metafora
Cth: benih keinsafan (rangkap 3; baris 5)
NILAI
1. Kasih sayang
Cth : Penyajak tetap menyayangi anak-anaknya walaupun dipinggirkan misalnya
penyajak tetap mendoakan anaknya agar Tuhan memberikan keinsafan terhadap
anak-anaknya.
2. Tanggungjawab
Cth : Anak-anak penyajak seharusnya bertanggungjawab menjaga kebajikan ibu
mereka walaupun telah berkeluarga dan tinggal berjauhan.
3. Ketabahan
Cth : Penyajak tabah menjalani kehidupan yang sunyi akibat diabaikan oleh anakanaknya.
4. Keinsafan
Cth : Penyajak sedar dan insaf bahawa yang kekal hanyalah Tuhan.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah sentiasa menyayangi ahli keluarga
Cth : Penyajak mengharapkan belaian kasih sayang daripada anak-anak pada
penghujung usianya.
2. Kita perlu tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam kehidupan terutamanya
ketika usia tua.
Cth : Penyajak tabah menjalani kehidupannya yang diabaikan oleh anak-anak dengan
mencari kehidupannya sendiri serta menanggung penderitaan hidup tanpa ada
tempat bergantung yang kukuh.
3. Kita haruslah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan menggembirakan ibu
bapa walaupun tinggal berjauhan
Cth : Anak-anak perlu sedar terhadap tanggungjawab untuk menjaga kebajikan
ibu kandung/ ibu bapa dan memberikan kebahagian kepadanya/ mereka.
4. Kita haruslah sedar dan insaf bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan
hanya Tuhan sahaja yang kekal.
Cth : Penyajak sedar dan insaf bahawa dalam kehidupan ini tidak ada yang kekal
kecuali Tuhan.

LATIHAN PENGUKUHAN CUTI- SILA JAWAB SOALAN DAN HANTAR HASIL TUGASAN ANDA PADA HARI KHAMIS INI( 1/4/2020)
Praktis 1
i.              Apakah maksud rangkap kedua sajak di atas. [2 markah]
ii.            Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak tidak ada tandingannya. Oleh sebab itu anakanak harus menyayangi mereka.Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang perlu dilakukan oleh anak-anak untukmembuktikan kasih sayang mereka terhadap ibu bapa? (3 markah)
iii.           Huraikankan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

Praktis 2
i.              Apakah saranan penulis dalam rangkap kedua sajak di atas. [2 markah]
ii.            Anak-anak bertaggungjawab untuk menjaga kebajikan ibu bapa.Pada pendapat anda, huraikan tiga tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa? [3 markah]
iii.           Huraikankan dua persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

ciguMidahjumbakpek…kasi malatup BM smekep

Saturday, March 28, 2020

MODUL KARANGAN UMUM-KAEDAH JUMBAKPEK MURID CEMERLANG/BAIK


UNIT 8:PELABURAN (Tingkatan 5) – Buku teks 167-186
Amalan menabung amat penting dalam kehidupan seharian anak-anak dan perlulah bermula dari rumah.
Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Peranan Ibu bapa untuk Memupuk Amalan Menabung dalam Diri Anak-anak.”
Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tidak lari dari landasan waktunya, dif-dif kehormat, tidak dilupakan saudara dan saudari yang dihormati.  Tampilnya saya selaku anak nusa mengepal segenggam harapan, menjunjung seribu impian menerusi sentuhan rasa topik syarahan saya yang berbunyi, “Peranan Ibu bapa untuk Memupuk Amalan Menabung dalam Diri Anak-anak.”
Tuan-tuan dan puan-puan,
Secara keseluruhannya topik syarahan pada pagi yang bahagia ini menyentuh tentang  peranan ibu bapa untuk memupuk amalan menabung dalam diri anak-anak.  Pengertian ini dalam konteks syarahan pada pagi ini merangkumi tanggungjawab atau tugas orang tua  untuk membentuk amalan menyimpan duit dalam diri anak-anak.  Amalan menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan tradisi dan budaya kepada anak-anak untuk berjimat cermat sejak anak-anak masih kecil lagi.  Amalan ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa.  Tanggungjawab untuk memupuk amalan menabung dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa.  Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.  Persoalan yang sering berlegar-legar di minda kita ialah apakah peranan ibu bapa untuk memupuk amalan menabung dalam diri anak-anak?
Hadirin dan hadirat,
            Apa yang dipertekankan dalam  konteks syarahan pada pagi ini ialah ibu bapa perlulah melatih anak-anak berjimat cermat dengan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk dalam kehidupan ini.  Hal ini tercetus kerana anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir.  Tamsilnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling mudah untuk menilai taraf hidup sesebuah keluarga.  Ibu bapa juga perlu memberi penerangan tentang pentingnya amalan berjimat cermat kerana amalan ini anak-anak boleh menyimpan lebihan  wang.  Contohnya menjimatkan wang belanja ke sekolah dan wang tersebut boleh disimpan di bank ibarat sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.  Selain itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan perlu dibayar secara tunai tanpa berhutang.  Kadangkala terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat pengiktirafan orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka tidak berkemampuan.  Prinsip biar papa asal bergaya haruslah dibuang jauh-jauh bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas ialah memberitahu anak-anak tentang faedah menabung dalam kehidupan.  Hal ini berlaku demikian kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi.  Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa.  Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik anak-anak tentang manfaat menabung jika ada lebihan wang selepas berbelanja untuk barang yang perlu dan penting.  Dengan cara ini, amalan menabung mudah berakar umbi dalam hati anak-anak.  Sekiranya didikan seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan memperdulikan nasihat ibu bapa lagi seperti mencurah air ke daun keladi.
Hadirin sekalian,
Kita tidak harusnya memandang sebelah mata terhadap peranan yang dimainkan oleh ibu bapa sebagai suri teladan yang baik kepada anak-anak.  Dalam konteks ini, ibu bapa sendiri harus mengamalkan sikap menabung.  Mereka harus menabung wang bersama-sama dengan anak-anak.  Anak-anak mudah terikut-ikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa.  Kendatipun demikian, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik.  Peribahasa Melayu mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.  Ibu bapa harus mengamalkan tabiat menabung dan jika ibu bapa mempunyai tabiat boros dan tidak pandai menguruskan wang, anak-anak sukar dan tidak ikhlas untuk menabung.
Mauduk seterusnya ialah ibu bapa perlu memantau perbelanjaan anak-anak.  Pada masa yang sama ibu bapa harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara menyimpannya.  Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung.  Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil untuk menyiapkan anak-anak berjimat-cermat ketika berbelanja di sekolah dan di mana-mana sahaja.  Begitu juga halnya dengan menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan kawan yang kurang berakhlak.  Hal ini kerana anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat.  Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak.  Dengan itu, amalan menabung akan dilupakan dan diketepikan oleh anak-anak.
Saudara dan saudari,
            Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita.  Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak membuka akaun di bank apabila mempunyai wang baki selepas berbelanja.  Ibu bapa harus menyemai amalan menyimpan wang di bank sebagai satu  tabiat hidup.  Ibu bapa juga perlu memperkenalkan anak-anak dengan budaya menabung sejak kecil. Langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi.  Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak.  Ibu bapa juga harus memuji anak-anak yang menyimpan banyak duit di bank.  Dengan kata-kata pujian ini, anak-anak sentiasa bersemangat dan tabiat menabung sentiasa ada dalam sanubari mereka.
Hadirin sekalian,
            Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa ibu bapa memang memainkan peranan yang besar dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita.  Pepatah cina mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula menunjukkan “ada padi semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sebagai satu tabiat hidup.

Kalau ada sawah bendang,
Dapat kita menuai padi,
Kalau ada umur panjang,
Boleh kita berjumpa lagi,

Sekian, terima kasih.

Modul Karangan Umum 6:Unit 11-Komunikasi Global (Tingkatan 5)
Remaja serta anak-anak pada masa ini gemar bermain permainan video.  Hal ini menimbulkan pelbagai masalah dan keburukan dalam hidup bermasyarakat.
Huraikan keburukan-keburukan dan masalah-masalah tersebut.
            Pada era globalisasi dunia tanpa sempadan, perbahasan tentang remaja serta anak-anak gemar bermain permainan video sering diperkatakan oleh masyarakat di Malaysia.  Permainan video ini merupakan satu aktiviti yang sangat digemari oleh golongan pelajar tidak kira di bandar atau di  desa. Permainan video ini menjadi satu kebiasaan bagi anak-anak muda bagai cendawan tumbuh selepas hujan.  Umum mengetahui bahawa permainan video ini dianggap satu trend baharu anak-anak muda yang inginkan keseronokan dalam hidup.  Dalam konteks ini, permainan video banyak membawa keburukan dan masalah dalm hidup bermasyarakat.  Persoalan yang akan dikupas ialah apakah keburukan-keburukan dan masalah-masalah remaja serta anak-anak yang gemar bermain permainan video dalam hidup bermasyarakat?  Sebagai memperkukuh persoalan tersebut, keburukan-keburukan yang menunjangi permainan video ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
            Sebagai cetusan minda yang pertama, keburukan permainan video ialah masa banyak terbuang begitu sahaja kerana remaja leka dan alpa dengan fenomena bermain video di komputer mahupun telefon bimbit.  Hal ini berlaku demikian kerana anak-anak muda suka menghabiskan banyak masa dengan permainan ini.  Tidak hairanlah remaja yang terlibat dalam permainan video akan menghabiskan masa berjam-jam di pusat-pusat permainan komputer tersebut.  Keasyikan dan keseronokan ketika berada di pusat tersebut menyebabkan mereka lalai dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.  Sepatutnya remaja mengisi masa terluang yang ada dengan aktiviti-aktiviti atau kerja-kerja yang lebih berfaedah.  Contohnya menghadiri kelas tambahan bagi subjek yang lemah serta mengikuti kem motivasi dan ceramah agama di masjid bagi melahirkan insan yang bermoral.  Impaknya remaja akan menghadapi kerugian dari segi masa serta tidak cemerlang dalam pelajaran.  Malahan masa itu emas dibuang begitu sahaja hinggakan masalah sosial remaja wujud akibat daripada bermain permainan video yang berunsur ganas dan lucah.  Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, jelaslah bahawa masa akan terbuang apabila remaja leka dengan permainan video ini.
            Merenung sejenak memikirkan rasionalnya ikatan kekeluargaan semakin longgar kesan daripada remaja dan ibu bapa yang sibuk dengan urusan sendiri dan pengaruh permainan video.  Hubungan anak-anak muda dengan orang tua semakin renggang disebabkan oleh remaja asyik dengan permainan video.  Lagipun remaja dan anak-anak ini tidak menghiraukan apa-apa yang berlaku di sekeliling kerana leka dengan permainan video.  Contohnya remaja berada di dalam kereta yang asyik dengan permainan video tidak peka dan tidak mahu tahu dengan keadaan di sekeliling.  Remaja yang ketagih dengan permainan ini sanggup ponteng sekolah dan melepak di pusat-pusat video komputer.  Sebagai tamsilnya, pelajar yang sanggup membawa pakaian persalinan untuk memudahkan mereka memasuki pusat permainan video tersebut.  Akibatnya hubungan ibu bapa dan pelajar berkenaan semakin longgar kerana masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri.  Sepatutnya ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka dan mengetahui rakan serta aktiviti yang dilakukan sebelum sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.  Sebagai konklusinya, jelaslah bahawa ikatan kekeluargaan semakin longgar apabila anak-anak banyak menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan video di pusat-pusat komputer.
            Dari perspektif yang lain pula, keburukan permainan video akan menjejaskan pendidikan remaja atau anak-anak.  Kita perlu mengakui hakikat bahawa masa untuk belajar pelajar semakin kurang kerana mereka banyak membuang masa dengan permainan video berjam-jam lamanya tanpa menghiraukan keadaan di sekeliling walhal ditegur oleh orang tua mereka.  Ketahuilah keasyikan dan keseronokan ketika berada di pusat permainan video menyebabkan mereka lalai dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.  Kendatipun, pelajaran anak-anak akan merosot kerana mereka tidak mengulangkaji pelajaran serta mengantuk apabila berada di kelas kesan daripada bermain permainan video berjam-jam di pusat permainan video.  Mereka lupa tentang kesihatan diri dan masa untuk berehat kerana leka dengan permainan video  yang mereka gemari.  Sebagai tamsilnya pelajar sanggup ponteng sekolah atau melepak di pusat-pusat video komputer.  Kesannya anak-anak tidak tahu langsung tentang isi pelajaran dan latihan tambahan yang diberikan oleh guru mereka.  Impaknya, pelajaran anak-anak akan merosot dan lahirlah generasi yang tidak mementingkan ilmu pendidikan dalam kehidupan.
            Mauduk seterusnya ialah remaja ketagihan dengan permainan video ini.  Dalam konteks ini, permainan video menyebabkan ketagihan kepada masyarakat kerana anak-anak remaja serta ibu bapa akan mengabaikan tanggungjawab masing-masing.  Bukan sahaja ketagih dengan permainan video tersebut, malah permainan ini boleh mempengaruhi minda pelajar ke arah unsur-unsur negatif seperti keganasan dan peperangan.  Aksi-aksi seperti ini juga akan merosakkan pemikiran remaja serta meracuni fikiran para pelajar.  Ketagihan ini menyebabkan mereka ponteng sekolah dan mengabaikan pelajaran mereka.  Lagipun untuk bermain permainan video di pusat video komputer memerlukan wang yang cukup banyak bagi setiap jam permainan.  Makanya remaja akan menggunakan wang saku mereka untuk membayar permainan video yang tidak berfaedah ini.  Kesannya ketagihan permainan ini akan merugikan wang ibu bapa serta anak-anak yang sepatutnya wang tersebut digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku rujukan dan sebagainya.  Amalan membazir adalah saudara syaitan telah diamalkan oleh remaja ini kerana melayari internet untuk permainan video yang kurang berfaedah.  Benarlah keburukan permainan video ialah ketagihan yang boleh merosakkan minda dan kesihatan masyarakat.
            Beralih pula pada perspektif yang lain, keburukan permainan video adalah membawa kesan terhadap kesihatan iaitu berat badan bertambah.  Daripada realiti ini, dapat kita jelaskan bahawa kegilaan terhadap permainan video menyebabkan pelbagai aktiviti luar dihentikan.  Aktiviti riadah, senaman dan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh dan pergerakan anggota badan tidak diendahkan oleh masyarakat yang leka dengan permainan video.  Secara tidak langsung, berat badan bertambah kerana bermain video sambil mengunyah makanan serta bermain berjam-jam tanpa ada senaman dan gerakan fizikal yang akan menyebabkan kesihatan masyarakat terjejas.  Ketahuilah anak-anak yang bermain permainan video pada peringkat awal berkemungkinan akan mengalami kegemukan sejak kecil lagi.  Kurang pergerakan badan akan menyebabkan berat badan meningkat dan akan menimbulkan pelbagai penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.  Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa haruslah memantau aktiviti pelajar semasa bermain permainan video ini agar kesihatan diri terjaga malah tidak mengabaikan pelajaran mereka.  Sebagai konklusinya, jelaslah bahawa berat badan akan bertambah jika anak-anak kurang bijak membahagikan masa bermain permainan video komputer dengan aktiviti riadah.
            Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, ternyatalah bahawa teknologi moden yang melanda dunia memberikan kesan sampingan kepada masyarakat terutamanya dalam permainan video komputer ini.  Oleh itu, semua pihak mesti pandai memilih mana yang baik dan mana yang buruk semasa mengikuti perkembangan teknologi maklumat ini.  Dalam konteks ini, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan supaya anak-anak remaja khasnya tidak mudah terjebak dan gila dengan keseronokan permainan video dalam kehidupan.  Tidak ada kusut yang tidak terlerai, tidak ada keruh yang tidak jernih, oleh itu kata sepakat seia sekata perlu diambil untuk menangani isu ini.  Tepuk dada tanya selera.
Modul Karangan Umum 7:  Unit 12 – Pelestarian Budaya Warisan        
Anda merupakan seorang pegawai Perpaduan dari KEMAS dan telah diundang untuk menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk “ Kepentingan-kepentingan Semangat Kejiranan dalam Kehidupan Bermasyarakat.”
Tulis ceramah itu selengkapnya.
Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai Persatuan KEMAS, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Jiran adalah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita.  Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita.  Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti.  Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”.  Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan  dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara.  Justeru semua pihak mestilah komited dan beriltizam untuk meningkatkan semangat kejiranan sehingga mencapai objektifnya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.  Persoalan yang akan dikupas sekejap lagi ialah apakah kepentingan-kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan bermasyarakat?  Oleh hal yang demikian, pelbagai kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
            Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan bermasyarakat adalah memupuk perpaduan jiran tetangga.  Kita perlu mengakui bahawa semangat kejiranan dapat mengukuhkan perpaduan kaum terutama di kawasan bandar seperti kawasan perumahan yang boleh hidup bantu-membantu antara satu dengan yang lain.  Yang paling nyata adalah amalan bergotong-royong dapat dilaksanakan pada hujung minggu melibatkan semua anggota masyarakat untuk membersihkan kawasan kediaman, masjid, kubur dan tempat-tempat lain.  Amalan ziarah-menziarahi juga berupaya untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga.  Dalam konteks ini, budaya prihatin dan saling menyayangi dapat disuburkan malah sindrom bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing juga mampu dikikis.  Secara analoginya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesyorkan pembudayaan amalan ini sama ada di bandar atau di pedalaman bagi membina sebuah masyarakat yang harmoni di Malaysia.  Jelaslah, perpaduan kaum dapat dipupuk melalui semangat kejiranan ini.
Hadirin yang budiman,
            Skop perbincangan akan diteruskan lagi dari aspek memudahkan sesuatu urusan sebagai kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini tercetus disebabkan oleh jiran tetangga boleh bekerjasama dengan kita untuk melakukan sesuatu tugasan atau aktiviti seperti sambutan rumah terbuka, gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, menyedikan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya.  Semakin ramai jiran tetangga boleh melakukan sesuatu tugas atau kerja beramai-ramai ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  Malahan, mereka juga dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat lagi.  Hal ini digambarkan dengan peribahasa yang mengatakan tak kenal maka tak cinta.  Melalui cara ini kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran serta memudahkan lagi urusan jiran yang sangat memerlukan bantuan daripada kita.  Sebagai penutup wacana ini, jelaslah bahawa kepentingan semangat kejiranan boleh memudahkan sesuatu urusan dalam kehidupan bermasyarakat.
Hadirin yang dimuliakan,
            Merenung sejenak memikirkan rasionalnya semangat kejiranan adalah membantu jiran yang berada dalam kesusahan.  Hal ini dikatakan demikian kerana jiran adalah orang yang paling dekat dan rapat dengan kita.  Kita sebagai jiran harus membantu jiran yang ditimpa kesusahan dan kemalangan.  Contohnya sakit, demam dan kematian.  Dalam hidup berjiran, kita haruslah menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai seperti berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan.  Amalan ini bukan sahaja membantu jiran semasa sakit malah dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang jauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri ibarat hidup seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.  Sebagai jiran kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit peha kiri, paha kanan terasa juga dengan mengambil tahu akan kesusahan dan musibah yang melanda jiran kita.  Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang.  Jelaslah bahawa semangat kejiranan ini amat penting untuk membantu jiran ketika berada dalam kesusahan demi meringankan lagi beban yang ditanggung oleh jiran kita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Mauduk seterusnya adalah jiran tetangga dapat menjaga keselamatan kita apabila masa dan keadaan yang memerlukan kita memohon bantuan jiran.  Dalam konteks ini, ikatan kejiranan yang kukuh boleh membantu dari segi keselamatan kawasan sekitar.  Contohnya jiran membantu memantau rumah ketika rumah ditinggalkan semasa musim perayaan seperti hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan sebagainya.  Rondaan bersama jiran tetangga juga membantu mengawal keselamatan kawasan perumahan sekiranya berlaku aktiviti pecah rumah, rompakan dan sebagainya.  Sebagai contoh, Pertubuhan Rakan Tetangga yang dianggotai oleh masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya.  Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu bagai aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling bantu antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat.   Impaknya, keselamatan jiran tetangga turut terjamin di samping bersama-sama menjaga keharmonian kawasan taman atau perumahan.  Benarlah bahawa,  semangat kejiranan amat penting untuk menjaga keselamatan jiran tetangga yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa semangat kejiranan mesti dimantapkan untuk keharmonian dan perpaduan hidup bermasyarakat.  “Jiran sepakat membawa berkat” amat penting sebagai doktrin untuk meningkatkan semangat kejiranan.  Usaha yang sistematik dan proaktif mestilah digerakkan  sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan kejiranan yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa.  Diharapkan dengan adanya semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. 
Sekian, terima kasih.
Modul Karangan Umum 8:  Unit 2-Pendidikan Alaf Ini
Pada zaman globalisasi dan perkembangan dunia teknologi maklumat masa kini, pendidikan maya semakin popular dalam kalangan masyarakat yang mementingkan pendidikan sepanjang hayat.
Tulis rencana tentang “ Manfaat-manfaat  Pendidikan Maya “.
Manfaat-manfaat Pendidikan Maya
Oleh: Damia Qasrina Qaisara

            Teknologi maklumat ialah teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat secara elektronik.  Maklumat tersebut boleh wujud dalam pelbagai bentuk sama ada bentuk fizikal, contohnya kertas dan buku, bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam bit.  Penggunaan Teknologi Maklumat membolehkan masyarakat menjadi lebih proaktif serta bersaing dengan masyarakat antarabangsa.  Umum mengetahui bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1999 telah memperkenalkan mata pelajaran Teknologi Maklumat untuk pelajar tingkatan 4 sebagai subjek elektif Sijil Pelajaran Malaysia.  Teknologi Maklumat adalah satu kemajuan dalam bidang komunikasi global yang boleh mencetuskan pelbagai fenomena dalam perkembangan teknologi seperti telefon pintar, telesidang dan sebagainya.  Banyak teknologi yang berkaitan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi tercipta pada masa kini bak cendawan tumbuh selepas hujan.  Begitu juga dengan wujudnya sistem pendidikan maya yang dijalankan melalui sistem talian.  Mereka yang ingin mengikuti pendidikan ini mestilah mempunyai kemudahan mengakses internet dan pendidikan maya ini sebagai satu langkah kerajaan untuk memartabatkan sistem pendidikan bertaraf dunia.  Persoalannya kini, apakah manfaat-manfaat pendidikan maya kepada masyarakat di Malaysia?  Sesungguhnya, terdapat pelbagai manfaat pendidikan maya kepada masyarakat di negara kita.
            Sebagai cetusan minda yang pertama, manfaat pendidikan maya adalah pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak ke tempat pengajian, kuliah atau bilik darjah.  Hal ini dikatakan demikian kerana bahan-bahan pembelajaran pendidikan maya disediakan dengan bahan dalam bentuk cakera padat atau boleh dimuatturunkan melalui laman web.  Lagipun ia dapat menjimatkan penggunaan kertas sekali gus mengatasi pencemaran alam.  Ketahuilah penggunaan buku elektronik atau e-buku telahpun dilancarkan oleh kerajaan di negara kita. E-buku merupakan komputer riba berukuran buku nota seberat satu kilogram yang boleh memasukkan hampir 300 naskhah buku di dalamnya dan dapat beroperasi selama lapan jam.kesannya, pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak ke sekolah dan menjimatkan kos percetakan buku teks pelajar.  Melalui e-buku ini, juga mampu mengatasi kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas.  E-buku juga menjadi satu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Contohnya Universiti Tun Abdul Razak yang mengaplikasikan konsep universiti terbuka tanpa pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah. Jelaslah bahawa pendidikan maya ini membawa kebaikan kepada pelajar untuk tidak membawa buku yang banyak ke kelas.
            Menyingkap jendela manfaat konkrit pendidikan maya adalah tidak perlu berulang-alik ke tempat pengajian atau dewan kuliah.  Hal ini tercetus kerana pendidikan maya membolehkan pelajar berada di mana-mana sahaja tanpa perlu berada di pusat penggajian.  Yang paling nyata ialah pelajar haruslah memiliki akses internet untuk menghantar tugasan dan perbincangan lanjut mengenai tajuk kuliah dengan pensyarah atau sesama pelajar dilakukan secara e-mel.  Di samping itu, pendidikan maya juga dapat menjimatkan kos sara hidup pelajar ketika dalam pengajian kerana dapat berjimat dalam kos pengangkutan ke tempat pengajian.  Kos membeli buku atau nota juga dapat diatasi dengan pendidikan maya ini.  Malahan pelajar tidak perlu menghabiskan masa di perpustakaan untuk membuat rujukan dan menyiapkan tugasan dengan adanya kemudahan perisian dan cakera padat yang dibekalkan kepada pelajar sebaik sahaja mereka mendaftar di universiti maya.  Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan dilokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Hal yang paling penting adalah setiap pelajar mesti memiliki sebuah komputer untuk memudahkan urusan pendidikan maya ini.  Impaknya, pelajar dan golongan yang telah bekerja tidak perlu berkejar ke bilik kuliah untuk mengikuti pendidikan maya ini.  Jelaslah bahawa pendidikan maya memudahkan pelajar dari berulang-alik ke pusat pengajian.
            Memang tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan maya bermanfaat untuk pelajar agar tidak terikat dengan waktu pembelajaran.  Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar dapat menghadiri mana-mana sidang di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu.  Hal ini akan memudahkan seseorang yang cacat atau telah bekerja untuk menyambung pelajaran. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama rakan lain.  Impaknya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baharu dapat ditunasi.  Pendidikan maya ini juga membuka peluang pelajar berinteraksi menggunakan internet dan e-mel untuk menghantar tugasan dan perbincangan sesama rakan atau pensyarah.  Malah ia menjimatkan kos kenderaan dan sebagainya.  Sebagai contoh Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) merupakan salah sebuah universiti yang menawarkan program pengajian yang dilaksanakan secara maya yang menyediakan bahan pembelajaran dan latihan atau ulang kaji dalam bentuk cakera padat, laman sesawang dan bahan bercetak.  Kesan baik kepada golongan yang bekerja untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi memboleh mereka bekerja dan mencari pendapatan sambil belajar tanpa perlu berhenti kerja.  Benarlah, manfaat pendidikan maya adalah membolehkan pelajar memilih sendiri jadual waktu belajar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
            Suatu manfaat yang tidak dapat diketepikan ialah pembelajaran  pendidikan maya menjadi lebih menarik.  Hal ini berlaku kerana pendidikan maya menggunakan sistem audio atau bunyi dan tayangan yang menarik menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih menarik.  Pendidikan maya juga menggunakan sistem grafik, teks dan kemudahan audio visual kepada pengguna.  Penggunaan perisian grafik dalam pendidikan maya boleh menarik minat pelajar. Contohnya, pelajar ingin mengetahui dan mempelajari kejadian tsunami, tayangan melalui video dan bunyi pasti lebih menarik berbanding dengan gambar di dalam buku dan keterangan yang diberikan oleh guru.  Penerangan kejadian tsunami melalui tayangan video menyebabkan pelajar lebih faham dan lebih berminat.  Pada masa kini, pelajar yang mengikuti pendidikan maya mudah memperoleh ilmu dengan cepat.  Walau sukar sekalipun seseorang itu digalakkan mencari ilmu yang bersesuaian dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w iaitu ”Tuntutlah ilmu walau di negara China sekalipun.”  Ilmu dunia tanpa sempadan memberi banyak kelebihan kepada pelajar.  Pelajar boleh menjelajah ilmu pengetahuan ke seluruh pelosok negara melalui pendidikan maya ini.  Oleh itu jelaslah pendidikan maya ini digalakkan kepada semua golongan selagi ia dimanfaatkan dengan tujuan yang betul.
            Berdasarkan pernyataan yang diberikan, ternyatalah bahawa pendidikan maya sangat sesuai digunakan kepada semua tahap umur yang memaksimumkan penggunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.  Pendidikan maya ini dapat memajukan sistem pendidikan di negara kita.  Oleh itu semua rakyat perlu mengambil peluang untuk mengikuti pelajaran secara maya hingga peringkat tertinggi.  Melalui cara ini juga, diharapkan negara kita akan mencapai taraf negara maju dengan lebih cepat.  Secara kesimpulannya, teknologi baharu tidak pernah salah dan kita perlu sedar pendidikan konvensional berbeza dengan sistem pendidikan maya sekarang.  Tepuk dada tanya selera.