Saturday, March 28, 2020

MODUL KARANGAN UMUM-KAEDAH IKC UNTUK MURID MULUS


MODUL 8: KARANGAN UMUM
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam masyarakat kita semakin meluas pada masa ini.
Sebagai remaja huraikan kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kehidupan seharian anda.  (Rujuk Buku Teks Tingkatan 4 muka surat 55)

Pada hari ini, isu penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam masyarakat sering diperkatakan oleh semua pihak. Hal ini demikian kerana teknologi maklumat dan komunikasi memberi kesan dalam kehidupan seharian. Persoalannya, apakah kepentingan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kehidupan seharian saya.? Oleh itu, marilah kita bersama-sama melihat kepentingan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam masyarakat kita ini secara rasional.
                 
          Satu daripada kepentingan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam masyarakat kita adalah untuk mempercepat kerja dalam mencari maklumat di hujung jari. Hal ini demikian kerana saya tidak perlu bersusah payah mencari buku-buku yang mengandungi maklumat yang saya inginkan di atas rak yang disusuni ribuan buku. Sebagai contohnya, saya hanya perlu membuka internet untuk mendapatkan maklumat. Dengan demikian, kerja saya akan menjadi lebih mudah dan masa saya dapat dijimatkan. Jelaslah bahawa, penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi banyak kepentingannya dan mempercepat kerja dalam mencari maklumat.
                 
                Selain itu, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dapat memudahkan berkomunikasi. Hal ini demikian kerana saya dapat berhubung dengan orang yang berada jauh daripada saya. Sebagai contohnya, saya boleh menghubungi keluarga yang berada di kampung. Dengan demikian, saya dapat bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim. Tegasnya, penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam masyarakat penting kerana dapat memudahkan komunikasi.
                 
                   Dalam konteks yang lain, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dapat menghiburkan saya. Hal ini demikian kerana sebagai remaja ada ketikanya saya menghadapi tekanan dalam pelajaran dan keluarga. Sebagai contohnya hiburan yang boleh dilayari dalam internet ialah mendengar lagu, bermain permainan komputer, menonton “You Tube” dan bermacam-macam lagi. Dengan demikian saya dapat menenangkan fikiran dan menghiburkan diri. Pendek kata, memang benarlah teknologi maklumat dapat memberi hiburan kepada saya.
                 
            Seterusnya, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dapat menambahkan kenalan. Hal ini demikian kerana saya dapat melayari “Facebook, “We Chat” “Twitter ataupun “Instagram” untuk berhubung dengan kawan-kawan sama ada yang baharu atau pun yang lama. Contohnya, saya dapat menghubungi kawan lama melalui aplikasi tersebut. Dengan demikian, hubungan saya dengan kawan-kawan tidak terputus walaupun kami berjauhan. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh teknologi maklumat dapat menambahkan kenalan saya.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kehidupan seharian remaja. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memastikan teknologi maklumat dan komunikasi digunakan secara berhemah. Secara tidak langsung dapat menjadikan remaja di negara kita menguasai teknologi maklumat.
                                                                 
MODUL 9: KARANGAN UMUM

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
(Rujuk Buku Teks Tingkatan 4 muka surat 75 dan 156)

Dewasa ini isu peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak sering diperkatakan oleh semua pihak. Hal ini demikian kerana semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja dan memberi kesan kepada kita. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak? Oleh itu, marilah kita bersama-sama melihat isu ini secara rasional.
                 
           Satu daripada peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak adalah membawa anak-anak ke tempat bersejarah. Hal ini demikian kerana anak-anak akan mendapat tahu tentang sejarah yang pernah berlaku di negara kita pada masa lalu. Sebagai contohnya ibu bapa membawa anak-anak ke Kompleks Sejarah Pasir Salak, Tugu Negara, Kota A Famosa dan lain-lain lagi. Dengan demikian, anak-anak dapat mengambil iktibar daripada peristiwa bersejarah yang berlaku di tempat tersebut. Jelaslah bahawa dengan membawa anak-anak ke tempat bersejarah, ibu bapa dapat menerapkan semangat patriotik dalam jiwa mereka.
                         
            Selain itu, peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak adalah dengan membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah dan semangat patriotik. Hal ini demikian kerana anak-anak dapat mengetahui perjuangan tokoh-tokoh terdahulu. Sebagai contohnya, buku-buku kisah perjuangan Datuk Bahaman, Mat Kilau, Datuk Maharajalela, Kapten Hassan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Dengan demikian, ibu bapa dapat menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tegasnya, membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah dan semangat patriotik dapat menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
                   
                 Seterusnya, peranan ibu bapa adalah dengan bercerita tentang tokoh-tokoh sejarah negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak dapat mengenali tokoh-tokoh sejarah yang banyak berjasa kepada tanah air. Sebagai contohnya Tunku Abdul Rahman dan Tuk Janggut. Dengan demikian, anak-anak dapat menghargai jasa tokoh-tokoh tersebut. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh peranan ibu bapa ialah bercerita tentang tokoh sejarah kepada anak-anak.
                   
            Kesimpulannya, terdapat pelbagai peranan ibu bapa untuk menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam menerapkan semangat patriotik ini dalam diri anak-anak. Sehubungan dengan itu, barulah kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai semangat cinta akan negara.

MODEL 10: KARANGAN UMUM
Industri pelancongan di negara kita antara penyumbang utama dalam bidang ekonomi dan dapat memajukan negara.
Huraikan sumbangan kemajuan pelancongan terhadap kemajuan negara.
(Rujuk Buku Teks Tingkatan 4 muka surat 252-253)
                   
              Pada alaf moden ini isu negara pelancongan sering diperkatakan oleh semua pihak. Hal ini demikian kerana kemajuan pelancongan antara penyumbang kemajuan ekonomi negara dan memberi kesan kepada kita. Persoalannya, apakah sumbangan memajukan pelancongan terhadap kemajuan negara.? Oleh itu, marilah kita bersama-sama melihat sumbangan industry pelancongan terhadap kemajuan negara.
                   
           Satu daripada sumbangan kemajuan pelancongan terhadap kemajuan ekonomi adalah dapat menambahkan pendapatan negara. Hal ini demikian kerana pelancong-pelancong asing akan berbelanja di negara kita. Sebagai contohnya, pelancong-pelancong dari Amerika Syarikat, Jepun dan China akan berbelanja untuk penginapan, makanan, komunikasi dan lain-lain lagi. Dengan demikian, pendapatan negara akan bertambah melalui tukaran mata wang asing ini. Jelaslah bahawa indsutri pelancongan mampu meningkatkan ekonomi negara.

Selain itu, memajukan pelancongan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Hal ini demikian kerana rakyat tempatan berpeluang untuk bekerja dalam negara  dalam sektor berkaitan dengan memajukan  pelancongan. Sebagai contohnya, bekerja dalam negara perhotelan, pengangkutan dan lain-lain lagi. Dengan demikian, kadar pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan dikurangkan. Tegasnya, menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ialah sumbangan kemajuan  pelancongan kepada negara.

Dalam konteks yang lain, kemajuan pelancongan juga merangsang perkembangan teknologi. Hal ini demikian kerana penyelidikan dan pembangunan dijalankan dalam bidang-bidang tertentu., penyelidikan dan pembangunan dalam bidang komunikasi, pengangkutan dan promosi. Dengan demikian, melalui projek-projek yang dibangunkan ini juga mampu menarik minat pelabur asing ke Malaysia. Pendek kata, kemajuan pelancongan mampu merangsang perkembangan teknologi di Malaysia.
                   Seterusnya, kemajuan pelancongan menjadi penyumbang kepada penyediaan prasarana yang selesa. Hal ini demikian kerana beberapa kemudahan awam perlu disediakan untuk keselesaan pelancong. Sebagai contohnya, kemudahan bekalan air dan elektrik yang mencukupi, pembinaan hotel serta pusat beli belah. Dengan demikian, taraf hidup rakyat tempatan juga dapat ditingkatkan. Oleh itu, penyediaan prasarana yang selesa ialah sumbangan kemajuan  pelancongan kepada negara.
                  
          Kesimpulannya, terdapat pelbagai sumbangan kemajuan  pelancongan kepada kemajuan ekonomi negara. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memastikan kemajuan pelancongan di negara kita berkembang pesat. Secara tidak langsung dapat menjadikan negara kita lebih dikenali.


No comments:

Post a Comment