UNIT
8:PELABURAN (Tingkatan 5) – Buku teks 167-186
Amalan
menabung amat penting dalam kehidupan seharian anak-anak dan perlulah bermula
dari rumah.
Tulis sebuah
syarahan yang bertajuk “Peranan Ibu bapa untuk Memupuk Amalan Menabung dalam
Diri Anak-anak.”
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tidak lari dari landasan
waktunya, dif-dif kehormat, tidak dilupakan saudara dan saudari yang
dihormati. Tampilnya saya selaku anak
nusa mengepal segenggam harapan, menjunjung seribu impian menerusi sentuhan
rasa topik syarahan saya yang berbunyi, “Peranan Ibu bapa untuk Memupuk Amalan
Menabung dalam Diri Anak-anak.”
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Secara keseluruhannya topik syarahan pada pagi yang bahagia ini
menyentuh tentang peranan ibu bapa untuk
memupuk amalan menabung dalam diri anak-anak.
Pengertian ini dalam konteks syarahan pada pagi ini merangkumi
tanggungjawab atau tugas orang tua untuk
membentuk amalan menyimpan duit dalam diri anak-anak. Amalan menabung merupakan amalan mulia yang
perlu dijadikan tradisi dan budaya kepada anak-anak untuk berjimat cermat sejak
anak-anak masih kecil lagi. Amalan ini
diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa.
Tanggungjawab untuk memupuk amalan menabung dalam sanubari anak-anak
jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu,
ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut
di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalan yang sering berlegar-legar di minda
kita ialah apakah peranan ibu bapa untuk memupuk amalan menabung dalam diri
anak-anak?
Hadirin
dan hadirat,
Apa yang dipertekankan dalam konteks syarahan pada pagi ini ialah ibu bapa
perlulah melatih anak-anak berjimat cermat dengan gaya hidup sederhana dan
tidak menunjuk-nunjuk dalam kehidupan ini.
Hal ini tercetus kerana anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup
yang sederhana dan tidak membazir.
Tamsilnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras
paling mudah untuk menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Ibu bapa juga perlu memberi penerangan
tentang pentingnya amalan berjimat cermat kerana amalan ini anak-anak boleh
menyimpan lebihan wang. Contohnya menjimatkan wang belanja ke sekolah
dan wang tersebut boleh disimpan di bank ibarat sedikit-sedikit, lama-lama
menjadi bukit. Selain itu, ibu bapa
perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan perlu dibayar
secara tunai tanpa berhutang. Kadangkala
terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas
rumah yang bergaya supaya mendapat pengiktirafan orang berada oleh orang-orang
di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka tidak berkemampuan. Prinsip biar papa asal bergaya haruslah
dibuang jauh-jauh bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam
diri anak-anak.
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas ialah
memberitahu anak-anak tentang faedah menabung dalam kehidupan. Hal ini berlaku demikian kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya dengan menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak
sejak bangku prasekolah lagi. Sewaktu
anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu
bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah
memberitahu dan mendidik anak-anak tentang manfaat menabung jika ada lebihan
wang selepas berbelanja untuk barang yang perlu dan penting. Dengan cara ini, amalan menabung mudah
berakar umbi dalam hati anak-anak.
Sekiranya didikan seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang
berdarah muda tidak akan memperdulikan nasihat ibu bapa lagi seperti mencurah
air ke daun keladi.
Hadirin
sekalian,
Kita tidak harusnya memandang sebelah mata terhadap peranan yang
dimainkan oleh ibu bapa sebagai suri teladan yang baik kepada anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa sendiri harus
mengamalkan sikap menabung. Mereka harus
menabung wang bersama-sama dengan anak-anak.
Anak-anak mudah terikut-ikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan
mengikut jejak langkah ibu bapa.
Kendatipun demikian, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang
baik. Peribahasa Melayu mengatakan
bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu
bapa harus mengamalkan tabiat menabung dan jika ibu bapa mempunyai tabiat boros
dan tidak pandai menguruskan wang, anak-anak sukar dan tidak ikhlas untuk
menabung.
Mauduk seterusnya ialah ibu bapa perlu memantau perbelanjaan
anak-anak. Pada masa yang sama ibu bapa
harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara menyimpannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak
mengamalkan tabiat menabung. Membuka
akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil untuk
menyiapkan anak-anak berjimat-cermat ketika berbelanja di sekolah dan di
mana-mana sahaja. Begitu juga halnya
dengan menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan kawan
yang kurang berakhlak. Hal ini kerana
anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan
tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan
anak-anak. Dengan itu, amalan menabung
akan dilupakan dan diketepikan oleh anak-anak.
Saudara
dan saudari,
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa
memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung menjadi
budaya masyarakat kita. Ibu bapa perlu
menggalakkan anak-anak membuka akaun di bank apabila mempunyai wang baki
selepas berbelanja. Ibu bapa harus
menyemai amalan menyimpan wang di bank sebagai satu tabiat hidup.
Ibu bapa juga perlu memperkenalkan anak-anak dengan budaya menabung
sejak kecil. Langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak
untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal
digunakan untuk masa depan mereka kelak.
Ibu bapa juga harus memuji anak-anak yang menyimpan banyak duit di
bank. Dengan kata-kata pujian ini,
anak-anak sentiasa bersemangat dan tabiat menabung sentiasa ada dalam sanubari
mereka.
Hadirin
sekalian,
Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan
bahawa ibu bapa memang memainkan peranan yang besar dalam memastikan amalan
menabung menjadi budaya masyarakat kita.
Pepatah cina
mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula
menunjukkan “ada padi semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini
menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan
kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan
amalan ini sebagai satu tabiat hidup.
Kalau ada sawah
bendang,
Dapat kita
menuai padi,
Kalau ada umur
panjang,
Boleh kita
berjumpa lagi,
Sekian, terima kasih.
Modul
Karangan Umum 6:Unit 11-Komunikasi Global (Tingkatan 5)
Remaja
serta anak-anak pada masa ini gemar bermain permainan video. Hal ini menimbulkan pelbagai masalah dan
keburukan dalam hidup bermasyarakat.
Huraikan
keburukan-keburukan dan masalah-masalah tersebut.
Pada era globalisasi dunia tanpa
sempadan, perbahasan tentang remaja serta anak-anak gemar bermain permainan
video sering diperkatakan oleh masyarakat di Malaysia. Permainan video ini merupakan satu aktiviti
yang sangat digemari oleh golongan pelajar tidak kira di bandar atau di desa. Permainan video ini menjadi satu
kebiasaan bagi anak-anak muda bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Umum mengetahui bahawa permainan video ini
dianggap satu trend baharu anak-anak muda yang inginkan keseronokan dalam
hidup. Dalam konteks ini, permainan video
banyak membawa keburukan dan masalah dalm hidup bermasyarakat. Persoalan yang akan dikupas ialah apakah
keburukan-keburukan dan masalah-masalah remaja serta anak-anak yang gemar
bermain permainan video dalam hidup bermasyarakat? Sebagai memperkukuh persoalan tersebut,
keburukan-keburukan yang menunjangi permainan video ini perlu diperincikan demi
kebaikan bersama.
Sebagai cetusan minda yang pertama,
keburukan permainan video ialah masa banyak terbuang begitu sahaja kerana remaja
leka dan alpa dengan fenomena bermain video di komputer mahupun telefon bimbit. Hal ini berlaku demikian kerana anak-anak
muda suka menghabiskan banyak masa dengan permainan ini. Tidak hairanlah remaja yang terlibat dalam
permainan video akan menghabiskan masa berjam-jam di pusat-pusat permainan komputer
tersebut. Keasyikan dan keseronokan
ketika berada di pusat tersebut menyebabkan mereka lalai dan mengabaikan
tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.
Sepatutnya remaja mengisi masa terluang yang ada dengan aktiviti-aktiviti
atau kerja-kerja yang lebih berfaedah.
Contohnya menghadiri kelas tambahan bagi subjek yang lemah serta
mengikuti kem motivasi dan ceramah agama di masjid bagi melahirkan insan yang
bermoral. Impaknya remaja akan
menghadapi kerugian dari segi masa serta tidak cemerlang dalam pelajaran. Malahan masa itu emas dibuang begitu sahaja
hinggakan masalah sosial remaja wujud akibat daripada bermain permainan video
yang berunsur ganas dan lucah. Sebagai
menggulung segala yang telah diperkatakan, jelaslah bahawa masa akan terbuang
apabila remaja leka dengan permainan video ini.
Merenung sejenak memikirkan
rasionalnya ikatan kekeluargaan semakin longgar kesan daripada remaja dan ibu
bapa yang sibuk dengan urusan sendiri dan pengaruh permainan video. Hubungan anak-anak muda dengan orang tua
semakin renggang disebabkan oleh remaja asyik dengan permainan video. Lagipun remaja dan anak-anak ini tidak
menghiraukan apa-apa yang berlaku di sekeliling kerana leka dengan permainan
video. Contohnya remaja berada di dalam
kereta yang asyik dengan permainan video tidak peka dan tidak mahu tahu dengan keadaan
di sekeliling. Remaja yang ketagih
dengan permainan ini sanggup ponteng sekolah dan melepak di pusat-pusat video
komputer. Sebagai tamsilnya, pelajar
yang sanggup membawa pakaian persalinan untuk memudahkan mereka memasuki pusat
permainan video tersebut. Akibatnya
hubungan ibu bapa dan pelajar berkenaan semakin longgar kerana masing-masing
sibuk dengan aktiviti sendiri.
Sepatutnya ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka dan
mengetahui rakan serta aktiviti yang dilakukan sebelum sesal dahulu pendapatan
sesal kemudian tiada gunanya. Sebagai
konklusinya, jelaslah bahawa ikatan kekeluargaan semakin longgar apabila
anak-anak banyak menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan video di
pusat-pusat komputer.
Dari perspektif yang lain pula,
keburukan permainan video akan menjejaskan pendidikan remaja atau
anak-anak. Kita perlu mengakui hakikat
bahawa masa untuk belajar pelajar semakin kurang kerana mereka banyak membuang
masa dengan permainan video berjam-jam lamanya tanpa menghiraukan keadaan di
sekeliling walhal ditegur oleh orang tua mereka. Ketahuilah keasyikan dan keseronokan ketika
berada di pusat permainan video menyebabkan mereka lalai dan mengabaikan
tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.
Kendatipun, pelajaran anak-anak akan merosot kerana mereka tidak
mengulangkaji pelajaran serta mengantuk apabila berada di kelas kesan daripada
bermain permainan video berjam-jam di pusat permainan video. Mereka lupa tentang kesihatan diri dan masa
untuk berehat kerana leka dengan permainan video yang mereka gemari. Sebagai tamsilnya pelajar sanggup ponteng
sekolah atau melepak di pusat-pusat video komputer. Kesannya anak-anak tidak tahu langsung
tentang isi pelajaran dan latihan tambahan yang diberikan oleh guru
mereka. Impaknya, pelajaran anak-anak
akan merosot dan lahirlah generasi yang tidak mementingkan ilmu pendidikan
dalam kehidupan.
Mauduk seterusnya ialah remaja
ketagihan dengan permainan video ini.
Dalam konteks ini, permainan video menyebabkan ketagihan kepada
masyarakat kerana anak-anak remaja serta ibu bapa akan mengabaikan
tanggungjawab masing-masing. Bukan
sahaja ketagih dengan permainan video tersebut, malah permainan ini boleh
mempengaruhi minda pelajar ke arah unsur-unsur negatif seperti keganasan dan
peperangan. Aksi-aksi seperti ini juga
akan merosakkan pemikiran remaja serta meracuni fikiran para pelajar. Ketagihan ini menyebabkan mereka ponteng sekolah
dan mengabaikan pelajaran mereka.
Lagipun untuk bermain permainan video di pusat video komputer memerlukan
wang yang cukup banyak bagi setiap jam permainan. Makanya remaja akan menggunakan wang saku
mereka untuk membayar permainan video yang tidak berfaedah ini. Kesannya ketagihan permainan ini akan
merugikan wang ibu bapa serta anak-anak yang sepatutnya wang tersebut digunakan
untuk tujuan yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku rujukan dan
sebagainya. Amalan membazir adalah saudara
syaitan telah diamalkan oleh remaja ini kerana melayari internet untuk
permainan video yang kurang berfaedah.
Benarlah keburukan permainan video ialah ketagihan yang boleh merosakkan
minda dan kesihatan masyarakat.
Beralih pula pada perspektif yang
lain, keburukan permainan video adalah membawa kesan terhadap kesihatan iaitu
berat badan bertambah. Daripada realiti
ini, dapat kita jelaskan bahawa kegilaan terhadap permainan video menyebabkan
pelbagai aktiviti luar dihentikan.
Aktiviti riadah, senaman dan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh dan
pergerakan anggota badan tidak diendahkan oleh masyarakat yang leka dengan
permainan video. Secara tidak langsung,
berat badan bertambah kerana bermain video sambil mengunyah makanan serta
bermain berjam-jam tanpa ada senaman dan gerakan fizikal yang akan menyebabkan
kesihatan masyarakat terjejas.
Ketahuilah anak-anak yang bermain permainan video pada peringkat awal
berkemungkinan akan mengalami kegemukan sejak kecil lagi. Kurang pergerakan badan akan menyebabkan
berat badan meningkat dan akan menimbulkan pelbagai penyakit lain seperti darah
tinggi, kencing manis dan sebagainya.
Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa haruslah memantau aktiviti pelajar
semasa bermain permainan video ini agar kesihatan diri terjaga malah tidak
mengabaikan pelajaran mereka. Sebagai
konklusinya, jelaslah bahawa berat badan akan bertambah jika anak-anak kurang
bijak membahagikan masa bermain permainan video komputer dengan aktiviti
riadah.
Sebagai menggulung segala yang telah
diperkatakan, ternyatalah bahawa teknologi moden yang melanda dunia memberikan
kesan sampingan kepada masyarakat terutamanya dalam permainan video komputer
ini. Oleh itu, semua pihak mesti pandai
memilih mana yang baik dan mana yang buruk semasa mengikuti perkembangan
teknologi maklumat ini. Dalam konteks
ini, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan supaya anak-anak
remaja khasnya tidak mudah terjebak dan gila dengan keseronokan permainan video
dalam kehidupan. Tidak ada kusut yang
tidak terlerai, tidak ada keruh yang tidak jernih, oleh itu kata sepakat seia
sekata perlu diambil untuk menangani isu ini.
Tepuk dada tanya selera.
Modul Karangan Umum 7:
Unit 12 – Pelestarian Budaya Warisan
Anda
merupakan seorang pegawai Perpaduan dari KEMAS dan telah diundang untuk
menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk “ Kepentingan-kepentingan Semangat Kejiranan
dalam Kehidupan Bermasyarakat.”
Tulis
ceramah itu selengkapnya.
Assalammualaikum
dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis,
pegawai-pegawai Persatuan KEMAS, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati
sekalian. Jiran adalah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di
sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di
sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga
kita. Jiran sangat penting kerana
merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita
apabila kita menghadapi kesusahan nanti.
Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita
dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat
kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu
perkara. Justeru semua pihak mestilah
komited dan beriltizam untuk meningkatkan semangat kejiranan sehingga mencapai
objektifnya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalan yang akan dikupas sekejap lagi
ialah apakah kepentingan-kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan
bermasyarakat? Oleh hal yang demikian,
pelbagai kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan bermasyarakat di negara
kita.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Memang
tidak dapat dinafikan lagi bahawa kepentingan semangat kejiranan dalam
kehidupan bermasyarakat adalah memupuk perpaduan jiran tetangga. Kita perlu mengakui bahawa semangat kejiranan
dapat mengukuhkan perpaduan kaum terutama di kawasan bandar seperti kawasan
perumahan yang boleh hidup bantu-membantu antara satu dengan yang lain. Yang paling nyata adalah amalan
bergotong-royong dapat dilaksanakan pada hujung minggu melibatkan semua anggota
masyarakat untuk membersihkan kawasan kediaman, masjid, kubur dan tempat-tempat
lain. Amalan ziarah-menziarahi juga
berupaya untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga. Dalam konteks ini, budaya prihatin dan saling
menyayangi dapat disuburkan malah sindrom bagai enau dalam belukar melepaskan
pucuk masing-masing juga mampu dikikis.
Secara analoginya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesyorkan pembudayaan amalan ini sama
ada di bandar atau di pedalaman bagi membina sebuah masyarakat yang harmoni di
Malaysia. Jelaslah, perpaduan kaum dapat
dipupuk melalui semangat kejiranan ini.
Hadirin yang budiman,
Skop
perbincangan akan diteruskan lagi dari aspek memudahkan sesuatu urusan sebagai
kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini tercetus
disebabkan oleh jiran tetangga boleh bekerjasama dengan kita untuk melakukan
sesuatu tugasan atau aktiviti seperti sambutan rumah terbuka, gotong-royong membersihkan
kawasan perumahan, menyedikan hidangan untuk kenduri-kendara dan
sebagainya. Semakin ramai jiran tetangga
boleh melakukan sesuatu tugas atau kerja beramai-ramai ibarat berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing. Malahan,
mereka juga dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain sekali gus
membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat
lagi. Hal ini digambarkan dengan
peribahasa yang mengatakan tak kenal maka tak cinta. Melalui cara ini kita dapat menjalinkan dan
meningkatkan hubungan sesama jiran serta memudahkan lagi urusan jiran yang
sangat memerlukan bantuan daripada kita.
Sebagai penutup wacana ini, jelaslah bahawa kepentingan semangat
kejiranan boleh memudahkan sesuatu urusan dalam kehidupan bermasyarakat.
Hadirin yang dimuliakan,
Merenung
sejenak memikirkan rasionalnya semangat kejiranan adalah membantu jiran yang
berada dalam kesusahan. Hal ini
dikatakan demikian kerana jiran adalah orang yang paling dekat dan rapat dengan
kita. Kita sebagai jiran harus membantu
jiran yang ditimpa kesusahan dan kemalangan.
Contohnya sakit, demam dan kematian.
Dalam hidup berjiran, kita haruslah menziarahi jiran tetangga pada
masa-masa yang sesuai seperti berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu
bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu
penyakit atau mendapat kemalangan.
Amalan ini bukan sahaja membantu jiran semasa sakit malah dapat
membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang jauh-jauh
sikap mementingkan diri sendiri ibarat hidup seperti enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing. Sebagai
jiran kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit peha kiri, paha kanan
terasa juga dengan mengambil tahu akan kesusahan dan musibah yang melanda jiran
kita. Jadi, melalui lawatan kita,
sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran
kita dan secara tidak langsung mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan
tenang. Jelaslah bahawa semangat
kejiranan ini amat penting untuk membantu jiran ketika berada dalam kesusahan
demi meringankan lagi beban yang ditanggung oleh jiran kita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Mauduk
seterusnya adalah jiran tetangga dapat menjaga keselamatan kita apabila masa
dan keadaan yang memerlukan kita memohon bantuan jiran. Dalam konteks ini, ikatan kejiranan yang
kukuh boleh membantu dari segi keselamatan kawasan sekitar. Contohnya jiran membantu memantau rumah
ketika rumah ditinggalkan semasa musim perayaan seperti hari Raya Aidilfitri,
Tahun Baharu Cina, Deepavali dan sebagainya.
Rondaan bersama jiran tetangga juga membantu mengawal keselamatan
kawasan perumahan sekiranya berlaku aktiviti pecah rumah, rompakan dan
sebagainya. Sebagai contoh, Pertubuhan
Rakan Tetangga yang dianggotai oleh masyarakat setempat secara bergilir-gilir
mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan
berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol,
merompak dan sebagainya. Hal ini
bersesuaian dengan peribahasa Melayu bagai aur dengan tebing yang mementingkan
semangat sandar-menyandar atau saling bantu antara satu sama lain dalam
kehidupan bermasyarakat. Impaknya,
keselamatan jiran tetangga turut terjamin di samping bersama-sama menjaga
keharmonian kawasan taman atau perumahan.
Benarlah bahawa, semangat
kejiranan amat penting untuk menjaga keselamatan jiran tetangga yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa
semangat kejiranan mesti dimantapkan untuk keharmonian dan perpaduan hidup
bermasyarakat. “Jiran sepakat membawa berkat”
amat penting sebagai doktrin untuk meningkatkan semangat kejiranan. Usaha yang sistematik dan proaktif mestilah
digerakkan sebagai usaha untuk
mengukuhkan hubungan kejiranan yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Diharapkan dengan adanya semangat kejiranan,
perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh.
Sekian, terima
kasih.
Modul
Karangan Umum 8: Unit 2-Pendidikan Alaf
Ini
Pada zaman globalisasi dan
perkembangan dunia teknologi maklumat masa kini, pendidikan maya semakin
popular dalam kalangan masyarakat yang mementingkan pendidikan sepanjang hayat.
Tulis rencana tentang “ Manfaat-manfaat Pendidikan Maya “.
Manfaat-manfaat Pendidikan Maya
Oleh: Damia Qasrina Qaisara
Teknologi maklumat ialah teknologi yang berkaitan
dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat secara
elektronik. Maklumat tersebut boleh
wujud dalam pelbagai bentuk sama ada bentuk fizikal, contohnya kertas dan buku,
bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam bit. Penggunaan Teknologi Maklumat membolehkan
masyarakat menjadi lebih proaktif serta bersaing dengan masyarakat antarabangsa. Umum mengetahui bahawa Kementerian Pendidikan
Malaysia pada tahun 1999 telah memperkenalkan mata pelajaran Teknologi Maklumat
untuk pelajar tingkatan 4 sebagai subjek elektif Sijil Pelajaran Malaysia. Teknologi Maklumat adalah satu kemajuan dalam
bidang komunikasi global yang boleh mencetuskan pelbagai fenomena dalam
perkembangan teknologi seperti telefon pintar, telesidang dan sebagainya. Banyak teknologi yang berkaitan dengan
kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi tercipta pada masa kini bak cendawan
tumbuh selepas hujan. Begitu juga dengan
wujudnya sistem pendidikan maya yang dijalankan melalui sistem talian. Mereka yang ingin mengikuti pendidikan ini
mestilah mempunyai kemudahan mengakses internet dan pendidikan maya ini sebagai
satu langkah kerajaan untuk memartabatkan sistem pendidikan bertaraf
dunia. Persoalannya kini, apakah
manfaat-manfaat pendidikan maya kepada masyarakat di Malaysia? Sesungguhnya, terdapat pelbagai manfaat
pendidikan maya kepada masyarakat di negara kita.
Sebagai
cetusan minda yang pertama, manfaat pendidikan maya adalah pelajar tidak perlu
membawa buku yang banyak ke tempat pengajian, kuliah atau bilik darjah. Hal ini dikatakan demikian kerana bahan-bahan
pembelajaran pendidikan maya disediakan dengan bahan dalam bentuk cakera padat
atau boleh dimuatturunkan melalui laman web.
Lagipun ia dapat menjimatkan penggunaan kertas sekali gus mengatasi
pencemaran alam. Ketahuilah penggunaan
buku elektronik atau e-buku telahpun dilancarkan oleh kerajaan di negara kita.
E-buku merupakan komputer riba berukuran buku nota seberat satu kilogram yang
boleh memasukkan hampir 300 naskhah buku di dalamnya dan dapat beroperasi
selama lapan jam.kesannya, pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak ke
sekolah dan menjimatkan kos percetakan buku teks pelajar. Melalui e-buku ini, juga mampu mengatasi
kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah
kelas. E-buku juga menjadi satu wahana
dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Contohnya
Universiti Tun Abdul Razak yang mengaplikasikan konsep universiti terbuka tanpa
pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah. Jelaslah bahawa pendidikan maya ini
membawa kebaikan kepada pelajar untuk tidak membawa buku yang banyak ke kelas.
Menyingkap
jendela manfaat konkrit pendidikan maya adalah tidak perlu berulang-alik ke
tempat pengajian atau dewan kuliah. Hal
ini tercetus kerana pendidikan maya membolehkan pelajar berada di mana-mana
sahaja tanpa perlu berada di pusat penggajian.
Yang paling nyata ialah pelajar haruslah memiliki akses internet untuk
menghantar tugasan dan perbincangan lanjut mengenai tajuk kuliah dengan
pensyarah atau sesama pelajar dilakukan secara e-mel. Di samping itu, pendidikan maya juga dapat
menjimatkan kos sara hidup pelajar ketika dalam pengajian kerana dapat berjimat
dalam kos pengangkutan ke tempat pengajian.
Kos membeli buku atau nota juga dapat diatasi dengan pendidikan maya
ini. Malahan pelajar tidak perlu
menghabiskan masa di perpustakaan untuk membuat rujukan dan menyiapkan tugasan
dengan adanya kemudahan perisian dan cakera padat yang dibekalkan kepada
pelajar sebaik sahaja mereka mendaftar di universiti maya. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ)
membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio,
video dan grafik dapat dilakukan dilokasi yang berbeza dengan peralatan canggih
dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Hal yang paling penting
adalah setiap pelajar mesti memiliki sebuah komputer untuk memudahkan urusan
pendidikan maya ini. Impaknya, pelajar
dan golongan yang telah bekerja tidak perlu berkejar ke bilik kuliah untuk
mengikuti pendidikan maya ini. Jelaslah
bahawa pendidikan maya memudahkan pelajar dari berulang-alik ke pusat
pengajian.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan maya bermanfaat untuk pelajar agar
tidak terikat dengan waktu pembelajaran.
Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar dapat menghadiri mana-mana
sidang di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu.
Hal ini akan memudahkan seseorang yang cacat atau telah bekerja untuk menyambung
pelajaran. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar
untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa di mana-mana sahaja tanpa
perlu duduk setempat bersama-sama rakan lain.
Impaknya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baharu
dapat ditunasi. Pendidikan maya ini juga
membuka peluang pelajar berinteraksi menggunakan internet dan e-mel untuk
menghantar tugasan dan perbincangan sesama rakan atau pensyarah. Malah ia menjimatkan kos kenderaan dan
sebagainya. Sebagai contoh Universiti
Tun Abdul Razak (UNITAR) merupakan salah sebuah universiti yang menawarkan
program pengajian yang dilaksanakan secara maya yang menyediakan bahan
pembelajaran dan latihan atau ulang kaji dalam bentuk cakera padat, laman
sesawang dan bahan bercetak. Kesan baik
kepada golongan yang bekerja untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi memboleh mereka bekerja dan mencari pendapatan sambil belajar
tanpa perlu berhenti kerja. Benarlah,
manfaat pendidikan maya adalah membolehkan pelajar memilih sendiri jadual waktu
belajar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Suatu
manfaat yang tidak dapat diketepikan ialah pembelajaran pendidikan maya menjadi lebih menarik. Hal ini berlaku kerana pendidikan maya
menggunakan sistem audio atau bunyi dan tayangan yang menarik menjadikan proses
pembelajaran menjadi lebih menarik.
Pendidikan maya juga menggunakan sistem grafik, teks dan kemudahan audio
visual kepada pengguna. Penggunaan
perisian grafik dalam pendidikan maya boleh menarik minat pelajar. Contohnya,
pelajar ingin mengetahui dan mempelajari kejadian tsunami, tayangan melalui
video dan bunyi pasti lebih menarik berbanding dengan gambar di dalam buku dan
keterangan yang diberikan oleh guru. Penerangan
kejadian tsunami melalui tayangan video menyebabkan pelajar lebih faham dan
lebih berminat. Pada masa kini, pelajar
yang mengikuti pendidikan maya mudah memperoleh ilmu dengan cepat. Walau sukar sekalipun seseorang itu
digalakkan mencari ilmu yang bersesuaian dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w iaitu
”Tuntutlah ilmu walau di negara China sekalipun.” Ilmu dunia tanpa sempadan memberi banyak
kelebihan kepada pelajar. Pelajar boleh
menjelajah ilmu pengetahuan ke seluruh pelosok negara melalui pendidikan maya
ini. Oleh itu jelaslah pendidikan maya
ini digalakkan kepada semua golongan selagi ia dimanfaatkan dengan tujuan yang
betul.
Berdasarkan
pernyataan yang diberikan, ternyatalah bahawa pendidikan maya sangat sesuai
digunakan kepada semua tahap umur yang memaksimumkan penggunan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi. Pendidikan maya
ini dapat memajukan sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu semua rakyat perlu mengambil peluang
untuk mengikuti pelajaran secara maya hingga peringkat tertinggi. Melalui cara ini juga, diharapkan negara kita
akan mencapai taraf negara maju dengan lebih cepat. Secara kesimpulannya, teknologi baharu tidak
pernah salah dan kita perlu sedar pendidikan konvensional berbeza dengan sistem
pendidikan maya sekarang. Tepuk dada
tanya selera.
No comments:
Post a Comment