Saturday, March 28, 2020

MODUL KARANGAN RANGSANGAN - TEKNIK JUMBAKPEK MURID CEMERLANG/BAIK


MODUL KARANGAN 8: UNIT 11 KOMUNIKASI GLOBALL
Lihat graf di bawah dengan teliti.
KESAN NEGATIF INTERNET TERHADAP MASYARAKAT
Huraikan pendapat anda tentang Kesan negatif Internet terhadap masyarakat.  Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

·         Membazir masa
·         Pengaruh negatif
·         Penyebaran maklumat palsu
 


           
           

       Dalam menongkah arus pemodenan, kita sering kali disogokkan dengan isu internet yang menjadi tarikan kepada pengguna di seluruh dunia.   Hal ini dikatakan demikian kerana, semakin ramai yang menggunakan internet semenjak pembukaan jalur lebar secara meluas ke pelosok tempat seiring dengan era globalisasi teknologi maklumat pada masa ini.  Ketahuilah penggunaan internet mempunyai banyak maslahatnya.  Walau bagaimanapun, teknologi ini turut mendatangkan impak negatif kepada pengguna tanpa mengira usia dan masa.  Sudah terang lagi bersuluh, masyarakat disogokkan dengan keburukan internet melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter, Telegram, Chat, Instagram dan sebagainya. Persoalannya yang sering berlegar-legar di minda kita ialah apakah kesan negatif internet terhadap masyarakat?  Oleh hal yang demikian, impak negatif penggunaan internet terhadap masyarakat yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci untuk kebaikan semua pihak.
            Beralih  pada perspektif internet membazir masa yang berharga bagi  masyarakat yang sering menggunakan internet tanpa batasan merupakan kesan buruk internet pada masa ini.  Hal ini tercetus kerana masa itu emas telah   terbuang begitu sahaja kepada mereka yang terlalu asyik dan ghairah dengan penggunaan internet tanpa mengira masa dan tempat.  Begitu juga halnya, remaja yang suka membuang masa dengan melayari laman yang tidak berfaedah seperti permainan video, Youtube, dan sebagainya menyebabkan mereka lalai dan tidak menggunakan masa dengan sebaik-baiknya untuk menyertai aktiviti yang berfaedah sesuai dengan usia remaja mereka.   Hal yang paling nyata ialah remaja turut mengabaikan pelajaran kerana mereka menghabiskan masa di depan komputer dan akhirnya gagal dalam pelajaran.  Contohnya, remaja pada masa kini terlalu leka dan alpa dalam dunia siber dan tidak sanggup membesar menjadi modal insan yang bermutu.  Pengaruh internet yang begitu kuat akan menjejaskan pembangunan negara kerana remaja  bakal menentukan kemakmuran negara kita pada masa hadapan bersesuaian dengan ungkapan Imam Al-bukhari iaitu “Jika anda ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang.”  Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan jelaslah bahawa, kesan buruk internet terhadap masyarakat adalah membuang masa tanpa hala tujuan.
            Skop perbincangan akan diteruskan lagi dari aspek penyebaran maklumat palsu kepada masyarakat dunia merupakan impak negatif internet terhadap masyarakat.  Hal ini tercetus disebabkan oleh kesahihan maklumat yang boleh diragui kerana bukan semua maklumat yang diperoleh dari internet adalah benar.  Maklumat itu mungkin ditokok tambah dan sengaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna internet.  Hal yang paling nyata ialah terdapat khabar angin yang disebarkan melalui internet mampu menjejaskan imej orang lain.  Secara tamsilnya, fitnah yang boleh mengelirukan orang ramai dan seterusnya membawa kesan buruk kepada individu yang menjadi mangsa fitnah.  Lebih parah lagi jika maklumat tersebut mampu menghancurkan keharmonian sesebuah negara.  Begitu juga dengan bahan-bahan internet yang tidak ditapis akan dibaca atau ditonton oleh masyarakat yang menjadi batu loncatan untuk menjatuhkan individu tertentu serta boleh membahayakan orang ramai.  Sebagai penghias bicara akhir, jelaslah bahawa maklumat palsu tanpa tapisan merupakan pengaruh buruk internet terhadap masyarakat.
            Suatu hakikat yang tidak dapat diketepikan ialah pengaruh bahan  negatif internet terhadap masyarakat pada masa kini.  Dalam konteks ini terdapat bahan-bahan negatif seperti unsur porno bercorak filem-filem ganas dan seks, budaya kuning dan  sebagainya mampu mempengaruhi masyarakat dengan mudah dan terbuka.  Lebih parah lagi jika golongan remaja yang kurang berfikiran matang senang dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif yang dipaparkan dalam laman web internet ini.  Maka, remaja akan meniru aksi-aksi yang boleh menjejaskan nilai murni yang telah dipupuk dalam sanubari mereka sejak kecil lagi.  Sebagai analoginya, ada juga yang terikut-ikut dengan budaya hegemoni Barat dalam hidup dan akan mengalami keruntuhan akhlak dalam kehidupan mereka.  Remaja yang ketagih dengan filem-filem ganas dan bahan-bahan porno akan menghabiskan banyak masa begitu sahaja.  Sebagai mengakhiri diskusi ini, jelaslah bahan negatif internet mampu membawa keruntuhan nilai-nilai baik masyarakat pada masa kini.
            Berdasarkan huraian kesan buruk internet terhadap masyarakat, ternyatalah bahawa penggunaan internet mesti dikawal supaya orang ramai tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut dengan sewenang-wenangnya.  Ibu bapa serta masyarakat harus berganding bahu dan menggembleng tenaga dengan pihak berkuasa untuk memantau remaja yang sering melayari internet.  Justeru, diharapkan anak-anak remaja tidak mudah terjerumus ke dalam lembah kehinaan dan kejahatan.  Sekiranya internet dapat digunakan dengan sebaik-baiknya, pastilah masyarakat kita dapat berfikir secara minda kelas pertama.  Tuntasnya, dapatlah kita rumuskan di sini bahawa masyarakat yang bijak menggunakan internet mampu melahirkan individu yang berwawasan demi kesejahteraan negara bak kata ‘Internet ibarat madu, maka jangan tukarkan menjadi hempedu.
MODUL KARANGAN 9: UNIT 12 PELESTARIAN BUDAYA WARISAN
lihat graf di bawah dengan teliti.
Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk mengekalkan permainan tradisional di negara kita.  Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Sepak raga bulatan
Wau
Gasing
§  Memperkenalkan permainan tradisional di sekolah
§  Menganjurkan pertandingan permainan tradisional
§  Menyediakan alat permainan tradisional
                        LANGKAH-LANGKAH  MENGEKALKAN PERMAINAN TRADISIONAL

 



                Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal sebagai permainan budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat untuk satu tempoh tertentu.  Permainan tradisional masih digemari oleh masyarakat kita dan masih dimainkan di beberapa tempat seperti permainan gasing, layang-layang, batu seremban dan sebagainya.  Namun dua tiga dekad ini, betapa permainan tradisional semakin ditelan zaman seiring dengan arus pemodenan masa kini.  Pada masa yang sama, permainan elektronik semakin diagung-agungkan dalam kalangan masyarakat dan permainan tradisional semakin dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia.  Ibarat daun kering yang terbang ditiup angin, tanpa disedari perlahan-lahan warisan nenek moyang akan hilang begitu sahaja.  Persoalan yang sering menerjah dan menerawang di gawang minda fikiran ialah apakah langkah-langkah untuk mengekalkan permainan tradisional di negara kita?  Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektik dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
            Kita tidak seharusnya memandang sebelah mata terhadap peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah dengan memperkenalkan permainan tradisional di sekolah sebagai langkah utama mengekalkan permainan ini.  Dalam konteks ini, sekolah mesti mengaktifkan permainan tradisional seperti gasing, sepak raga bulatan, congkak dan sebagainya di sekolah dengan menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional.  Contohnya kelab Congkak atau Kelab Sepak Raga yang boleh melatih anak-anak muda mengetahui dan mengenali permainan tersebut secara mendalam lagi.  Tak kenal maka tak cinta, maka pihak sekolah boleh menjemput tetamu dari luar yang mahir dalam permainan tradisional untuk membimbing remaja tentang cara dan teknik bermain permainan tradisional yang betul.  Kendatipun demikian, para pelajar dapat mendominasi permainan tradisinal dengan lebih baik lagi kerana jauhari juga yang mengenal manikam.  Biar kita lihat sekiranya pihak sekolah mengadakan acara dan pertandingan  menarik yang boleh disertai oleh para pelajar dan guru.  Oleh itu, pihak sekolah perlulah menyediakan lebih banyak alatan permainan tradisional yang boleh digunakan di sekolah bagi memudahkan para pelajar untuk menggunakan alatan permainan tersebut.  Justifikasinya, para pelajar akan lebih mendekatkan diri dengan permainan tradisonal dan mengekalkan warisan bangsa dalam diri setiap pelajar.  Izharlah bahawa, pihak sekolah mestilah memainkan peranan untuk mengekalkan permainan tradisonal dalam masyarakat di Malaysia.
            Kupasan dan huraian tentang langkah-langkah mengekalkan permainan tradisional tidak harus ada titik noktahnya, maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai kata ditinjau pula dari aspek mengadakan pertandingan permainan tradisional.  Kita perlu mengakui hakikat bahawa pertandingan permainan tradisonal yang dianjurkan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan mampu mengekalkan permainan ini.  Secara analoginya, rakyat daripada pelbagai kaum dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang permainan tradisional yang hampir pupus ditelan zaman.  Pihak kerajaan seperti Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan  mengadakan pesta permainan tradisional.  Pada masa yang sama kerajaan boleh memperluas permainan tradisional negara Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa.  Tamsilnya permainan wau dan layang-layang menjadi tarikan ramai pelancong asing melawat ke Malaysia untuk melihat pertandingan layang-layang yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada saban tahun.  Implikasinya rakyat tidak mudah untuk melupakan permainan tradisional serta mampu menyelami dan mempelajari permainan tradisonal dengan lebih mendalam.  Hal ini bersesuaian dengan peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, permainan tradisional tidak akan mudah terhakis pada zaman akan datang.  Benarlah panganjuran pertandingan permainan tradisional mampu mengekalkan permainan ini sepanjang zaman.
            Sebagai penutup tirai perbincangan, langkah-langkah untuk mengekalkan permainan tradisional yang dibincangkan di atas akan ditinjau dan dibugar dari sudut menyediakan alat permainan tradisional.  Hal ini dikatakan demikian kerana alat-alat permainan tradisional mesti disediakan dengan banyak untuk memudahkan generasi muda mengenali, menggunakan serta memahami penggunaan alatan permainan tradisional.  Contohnya, wau, gasing, permainan congkak dan sebagainya perlu disediakan di sekolah, dijual di kedai dengan harga yang berpatutan serta dipamerkan di pesta permainan tradisional agar masyarakat boleh mengetahui dan menjadikan alatan permainan tradisional sebagai koleksi antik dan hobi baharu.  Secara tidak langsung permainan ini masih kekal dan tidak terus tenggelam dek zaman.  Sebagai analoginya, peranan generasi lama yang masih boleh membuat atau menyediakan peralatan-peralatan ini perlu memperturunkan ilmu kemahiran membuat alat permainan ini kepada generasi muda.  Impaknya, permainan ini akan dapat dikekalkan dan diwarisi sepanjang zaman.  Ibu bapa juga boleh membelikan anak-anak alatan permainan tradisional sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu bapa pulang dari bekerja di luar daerah seperti congkak dan gasing.  Melentur buluh biarlah dari rebungnya amat sesuai dengan peranan ibu bapa yang memperkenalkan permainan ini kepada anak-anak mereka sejak dari kecil lagi.  Secara tidak langsung, anak-anak mewarisi teknik dan cara-cara bermain permainan tradisional ini.  Tegasnya, penyediaan alat permainan tradisional boleh mengekalkan khazanah permainan tradisional pada masa kini.
            Sudah terang lagi bersuluh, ternyatalah permainan tradisional perlu dikekalkan supaya generasi muda mengenali dan mewarisi permainan ini.  Oleh itu, semua pihak haruslah mengambil langkah yang drastik umpama sediakan payung sebelum hujan agar permainan tradisional tidak dipandang ringan dan aktiviti permainan ini sentiasa diaktifkan dari masa ke masa.  Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, kita mengharapkan generasi muda bersama-sama menjaga dan menggiatkan permainan tradisional hingga ke peringkat antarabangsa.  Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, sebagai kata sepakat untuk mengekalkan permainan tradisional agar tidak tenggelam dek zaman.

No comments:

Post a Comment