Saturday, March 28, 2020

MODUL KARAGAN RANGSANGAN - KAEDAH IKC UNTUK MURID MULUS


Lihat gambar di bawah dengan teliti.  Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mengekalkan budaya warisan.  Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
           
          Dewasa ini, isu budaya warisan perlu dikekalkan mendapat perhatian utama dan bualan masyarakat umpama pisang goreng panas.  Hal ini kerana, setiap lapisan masyarakat harus memelihara warisan kebudayaan dan kesenian agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.  Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk mengekalkan budaya warisan ini?  Sesungguhnya, terdapat pelbagai cara untuk mengekalkan budaya warisan daripada pupus ditelan zaman.
            
           Sudah terang lagi bersuluh, usaha-usaha mengekalkan budaya warisan yang pertama ialah mempromosikan permainan tradisional di sekolah.  Hal ini kerana golongan remaja terlalu gemar dengan permainan moden seperti permainan video.  Oleh itu, sekolah amnya perlu melantik jurulatih berpengalaman untuk melatih pelajar meminati dan mengetahui cara permainan tradisional seperti wau, gasing, congkak dan batu seremban.    Jelaslah bahawa mempromosikan permainan tradisional di sekolah merupakan cara mengekalkan permainan ini dengan baik.
            
                Selain itu, usaha-usaha mengekalkan budaya warisan ialah memeriahkan sambutan perayaan pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India serta bumiputera di Sabah dan Sarawak.  Hal ini dilakukan dengan menganjurkan sambutan rumah terbuka ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali oleh pelbagai kaum di Malaysia.  Sebagai contoh, kaum-kaum yang ada akan bergotong-royong menyediakan juadah kepada tetamu yang hadir.  Impaknya silaturahim akan terjalin dalam kalangan masyarakat kita.  Izharnya bahawa memeriahkan sambutan perayaan pelbagai kaum merupakan usaha mengekalkan budaya warisan di Malaysia.
           
            Akhir sekali, budaya warisan ini dapat dikekalkan dengan mempopularkan industri batik dalam pembangunan industri desa hingga ke luar negara.  Hal ini akan membantu masyarakat setempat mendapat pekerjaan dan menambah sumber pendapatan.  Duta-duta kecil perlulah ke luar negara untuk mempopularkan batik dengan mempromosikannya melalui media massa.  Kesannya, usaha ini dapat memartabatkan seni budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.  Tuntasnya, usaha mengekalkan budaya warisan adalah dengan mengetengahkan industri tempatan ke persada dunia.
           
               Kesimpulannya, masyarakat perlulah mempertahankan warisan budaya dan kesenian dengan melaksanakan pelbagai cara bagi memelihara budaya Malaysia daripada pupus ditelan zaman. Tepuk dada tanya selera.

MODEL 18:KARANGAN RANGSANGAN (Murid yang sangat lemah)
Lihat gambar di bawah dengan teliti.  Huraikan pendapat anda tentang kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia.  Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
            
             Dewasa ini, isu remaja yang berakhlak mulia sering diperkatakan di media massa umpama pisang goreng panas.  Hal ini kerana remaja pewaris pentadbiran negara.  Remaja yang buruk akhlaknya akan meruntuhkan masa depan negara.  Persoalannya, apakah kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia?  Sesungguhnya, terdapat pelbagai kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia ini.
           
            Kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia yang pertama ialah disenangi oleh rakan-rakan.  Remaja yang berakhlak akan membantu rakan yang mengalami masalah.  Tegasnya, disenangi oleh rakan-rakan merupakan ciri remaja yang berakhlak mulia.
            
             Kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia yang kedua ialah dihormati dan disegani oleh masyarakat sekeliling.  Contohnya, remaja haruslah menghormati warga emas dan orang lain tanpa mengira bangsa dan agama.  Jelaslah bahawa dihormati dan disegani oleh masyarakat sekeliling merupakan kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia.
            
           Kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia yang ketiga ialah menjadi kebanggaan ibu bapa.  Contohnya remaja mentaati ibu bapa dengan mendengar nasihat serta tunjuk ajar mereka.  Akhirnya remaja akan menjadi anak yang dikasihi dan dapat menjaga nama baik ibu bapa.  Benarlah bahawa menjadi kebanggaan ibu bapa merupakan kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia.
            
           Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai kebaikan menjadi remaja yang berakhlak mulia.  Sehubungan dengan itu,  masyarakat haruslah peka dengan keperluan utama remaja dan sentiasa memberi sokongan serta nasihat untuk menjadi remaja yang berakhlak mulia. 


MODEL 19:KARANGAN RANGSANGAN (Murid yang sangat lemah)
Lihat gambar di bawah dengan teliti.  Huraikan pendapat anda tentang kebaikan mempopularkan permainan tradisional.  Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Isi-isi penting:
1.      Mengisi masa lapang
2.      Mengekalkan budaya warisan
3.      Mengeratkan hubungan

Dewasa ini, isu permainan tradisional sering diperkatakan di media massa umpama pisang goreng panas.  Permainan tradisional seperti wau, gasing, congkak dan batu seremban perlu dipopularkan kerana semakin dilupakan  akibat keghairahan bermain permainan video dalam telefon pintar .  Persoalannya, apakah kebaikan mempopularkan permainan tradisional di negara kita ?  Sesungguhnya, terdapat pelbagai kebaikan mempopularkan permainan tradisional  ini.

Sudah terang lagi bersuluh, kebaikan mempopularkan permainan tradisional ialah dapat mengisi masa lapang.  Hal ini kerana masyarakat dapat menghiburkan diri dengan permainan tradisional seperti kabadi, yoyo cina dan galah panjang selain permainan moden. Permainan wau, gasing dan congkak pula memerlukan skil dan kemahiran yang boleh menyeronokkan masa lapang.  Sebagai impaknya, masyarakat juga dapat merehatkan minda selepas penat bekerja. Jelaslah bahawa mengisi masa lapang merupakan kebaikan mempopularkan permainan tradisional.

Selain itu, kebaikan mempopularkan permainan tradisional ialah mengekalkan budaya warisan masyarakat.  Hal ini dikatakan demikian kerana budaya warisan perlu dikekalkan daripada pupus ditelan zaman.  Sebagai tamsilnya, kanak-kanak perlu didedahkan dengan permainan tradisional seperti wau dan gasing.  Kesannya, generasi muda akan tahu wujudnya permainan tradisional dalam masyarakat mereka.  kanak-kanak juga didedahkan dengan pengetahuan membuat permainan tradisional seperti cara membuat wau dan gasing.  Benarlah bahawa mengekalkan budaya warisan merupakan kebaikan mempopularkan permainan tradisional.

Akhir sekali, kebaikan mempopularkan permainan tradisional ialah mengeratkan hubungan antara masyarakat.  Hubungan terjalin antara ahli keluarga dan jiran tetangga semasa bermain sepak raga bulatan, congkak dan batu seremban.  Contohnya, mereka akan berbual-bual atau bersembang tentang permainan tradisional atau cerita harian yang boleh mengeratkan hubungan sesama mereka.  Izharnya bahawa mengeratkan hubungan antara masyarakat merupakan kebaikan mempopularkan permainan tradisional.
           
              Kesimpulannya, memang banyak kebaikan mempopulakan permainan tradisional di negara kita.  Oleh itu, masyarakat haruslah bersama-sama memelihara dan mempromosikan permainan tradisional agar dikenali oleh masyarakat di negara lain.  Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment