Monday, March 30, 2020

LATIHAN KOMSAS SAJAK ERTI HIDUP BERERTI-LATIHAN WAKTU CUTI


LATIHAN WAKTU CUTI-COVID-19
BAHASA MELAYU
SPM RAMALAN KOMSAS- SAJAK ERTI HIDUP BERERTI
Baca petikan sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

ERTI HIDUP BERERTI

Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angina dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

Teo Wei Sing
Suara Anak Pahang, 2009
Pekan Ilmu Sdn. Bhd.

SALIN NOTA DALAM BUKU MAP/BUAT DALAM PETA MINDA/ITHINK :
RANGKAP
MAKSUD SAJAK
1
penyajak sering dihimbau oleh nasib malang yang mengongkongi hidupnya dan tidak pernah berubah. Tiada sesiapa yang datang menziarahinya. Keluhan daripada seoranginsan tua yang kesunyian.
2
Kebahagiaan hidup yang diimpikan oleh penyajak hanya angan-angan sahaja
sehingga penghujung hidupnya. Anak-anak kandungnya sendiri sudah melupai dan tidak sanggup untuk menjaganya. Anak-anaknya
juga saling menolak untuk menjaganya. Penyajak mencari kehidupannya sendiri dan menanggung penderitaan hidup tanpa ada tempat bergantung yang kukuh.
3
Penyajak menganggap dirinya tidak dihargai dan diperlukan lagi walaupun mereka merupakan anak kandungnya sendiri. Penyajak berharap agar anak-anaknya sama ada yang sanggup berbakti atau yang telah melupakannya akan diberikan keinsafan. Penyajak turut berharap agar dapat hidup dengan berkasih sayang dan menggantikan hubungan yang hambar sebelum ini.
Penyajak juga mengingatkan supaya manusia jangan leka kerana dalam putaran hidup ini akan ada yang hidup dan mati kecuali hanya Tuhan yang kekal.

TEMA
Keluhan ibu tua yang diabaikan oleh anaknya sendiri - Seorang ibu yang mengharapkan
belaian kasih sayang anak-anak pada penghujung usianya. Walau bagaimanapun anak-anak
tidak mengendahkan dan melaksanakan tanggungjawab menjaganya. Jauh di sudut hati ibu
tua ini masih mengharapkan anak-anaknya akan insaf.

PERSOALAN
1. Persoalan kasih sayang seorang ibu
Cth : Seorang ibu yang mengandungkan dan menjaga anak semasa kecil sehinggalah
anak-anaknya dewasa.
2. Persoalan nasib warga tua yang dipinggirkan oleh anak-anak
Cth : Anak-anak tidak boleh mengabaikan ibu yang melahirkan dan membesarkan
mereka.
3. Persoalan kebahagiaan hidup merupakan impian setiap individu
Cth : Seorang ibu berharap agar anak-anak dapat memberikan kebahagiaan pada hari
tuanya.
4. Persoalan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa
Cth : Anak-anak perlu sedar terhadap tanggungjawab untuk menjaga kebajikan
ibu kandung/ ibu bapa dan memberikan kebahagian kepadanya/ mereka.
5. Persoalan keyakinan terhadap kekuasaan Tuhan
Cth : Penyajak mengingatkan pembaca bahawa dalam putaran hidup ini akan ada yang
hidup dan mati kecuali hanya Tuhan yang kekal.

GAYA BAHASA
1. Personifikasi
Cth : malam sepi (rangkap 1; baris 2)
2. Simile
Cth : bagai kalung ( rangkap 1; baris 3)
3. Sinkope
Cth : anakku bakaku (rangkap 3; baris 3)
4. Anafora
Cth : ada yang mati
ada yang hidup (rangkap 3; baris 9 & 10)
5. Responsi
Cth : dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik (rangkap 2; baris 6 & 7)
6. Metafora
Cth: benih keinsafan (rangkap 3; baris 5)
NILAI
1. Kasih sayang
Cth : Penyajak tetap menyayangi anak-anaknya walaupun dipinggirkan misalnya
penyajak tetap mendoakan anaknya agar Tuhan memberikan keinsafan terhadap
anak-anaknya.
2. Tanggungjawab
Cth : Anak-anak penyajak seharusnya bertanggungjawab menjaga kebajikan ibu
mereka walaupun telah berkeluarga dan tinggal berjauhan.
3. Ketabahan
Cth : Penyajak tabah menjalani kehidupan yang sunyi akibat diabaikan oleh anakanaknya.
4. Keinsafan
Cth : Penyajak sedar dan insaf bahawa yang kekal hanyalah Tuhan.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah sentiasa menyayangi ahli keluarga
Cth : Penyajak mengharapkan belaian kasih sayang daripada anak-anak pada
penghujung usianya.
2. Kita perlu tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam kehidupan terutamanya
ketika usia tua.
Cth : Penyajak tabah menjalani kehidupannya yang diabaikan oleh anak-anak dengan
mencari kehidupannya sendiri serta menanggung penderitaan hidup tanpa ada
tempat bergantung yang kukuh.
3. Kita haruslah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan menggembirakan ibu
bapa walaupun tinggal berjauhan
Cth : Anak-anak perlu sedar terhadap tanggungjawab untuk menjaga kebajikan
ibu kandung/ ibu bapa dan memberikan kebahagian kepadanya/ mereka.
4. Kita haruslah sedar dan insaf bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan
hanya Tuhan sahaja yang kekal.
Cth : Penyajak sedar dan insaf bahawa dalam kehidupan ini tidak ada yang kekal
kecuali Tuhan.

LATIHAN PENGUKUHAN CUTI- SILA JAWAB SOALAN DAN HANTAR HASIL TUGASAN ANDA PADA HARI KHAMIS INI( 1/4/2020)
Praktis 1
i.              Apakah maksud rangkap kedua sajak di atas. [2 markah]
ii.            Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak tidak ada tandingannya. Oleh sebab itu anakanak harus menyayangi mereka.Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang perlu dilakukan oleh anak-anak untukmembuktikan kasih sayang mereka terhadap ibu bapa? (3 markah)
iii.           Huraikankan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

Praktis 2
i.              Apakah saranan penulis dalam rangkap kedua sajak di atas. [2 markah]
ii.            Anak-anak bertaggungjawab untuk menjaga kebajikan ibu bapa.Pada pendapat anda, huraikan tiga tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa? [3 markah]
iii.           Huraikankan dua persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

ciguMidahjumbakpek…kasi malatup BM smekep

No comments:

Post a Comment